MILAN, 31 Jan – Bekas finalis Terbuka Perancis, Sara Errani semalam disenaraikan dalam skuad Piala Fed Itali menentang Switzerland bagi pertembungan pusingan pertama Kumpulan Dunia II selepas menamatkan hukuman gantung 10 bulan akibat doping.
Errani juara beregu lima kali Grand Slam selesai menjalani hukuman yang dinaikkan dari dua bulan ke 10 bulan pada Jun lalu oleh Mahkamah Arbitrasi Sukan (CAS).
Errani boleh beraksi pada 8 Februari dan perlawanan dijadualkan dua hari berikutnya, 9 dan 10 Februari.
Finalis Roland Garros 2012 dari Itali itu digantung dua bulan pada Ogos 2017 oleh tribunal bebas Persekutuan Tenis Itali selepas gagal ujian doping pada Februari tahun lalu.
Errani berkata dia telah mengambil letrozole, yang boleh memberikan ‘sedikit’ kesan anabolik dan penggunaan ubat testosteron, ketika tidak mengetahui bahawa ubat-ubatan ibunya yang menghidap barah ditemui dalam makanan keluarga. Keputusan CAS diikuti rayuan oleh Agensi Anti Doping Itali yang mahukan hukuman lebih lama dan Errani mahukan ia ditarik balik.
Bagaimanapun Errani diberitahu bahawa dia perlu menjalani tambahan lapan bulan lagi. Kapten Piala Fed Itali, Tathiana Garbin memanggil Errani yang kini menduduki ranking ke-113 untuk beraksi menentang Switzerland di Biel. – AFP
