NEW YORK, 21 OGOS – Sara Errani dan Andrea Vavassori mempertahankan gelaran beregu campuran Terbuka AS kelmarin selepas menewaskan Iga Swiatek dan Casper Ruud untuk membawa pulang hadiah utama bernilai AS$1 juta dalam kejohanan versi baharu yang membuka tirai Grand Slam terakhir tahun ini.
Pasangan Itali itu menamatkan persaingan sengit dalam acara 16-pasukan dengan kemenangan 6-3, 5-7, 10-6 ke atas Swiatek dan Ruud – yang merupakan antara bintang perseorangan yang turut menyertai beregu campuran bukan sahaja kerana hadiah wang lumayan tetapi juga peluang untuk bertanding sebelum aksi perseorangan bermula Ahad ini.
Swiatek dari Poland, juara enam kali Grand Slam dan pemain nombor dua dunia, bertarung dua jam menentang Jasmine Paolini untuk menjuarai Terbuka Cincinnati pada Isnin sebelum bergegas ke New York untuk bergandingan dengan Ruud dari Norway dalam kejohanan yang diperbaharui itu.
Carlos Alcaraz, juara perseorangan lelaki di Cincinnati, juga menyertai tetapi dia dan rakan dari Britain, Emma Raducanu, tersingkir pada Selasa. Begitu juga bintang Novak Djokovic yang bergandingan dengan rakan senegaranya, Olga Danilovic.
Nama-nama besar ini menarik perhatian ramai penonton, tetapi kerjasama antara Errani dan Vavassori yang telah dibina sepanjang dua tahun – termasuk kemenangan Terbuka Perancis tahun ini – ternyata menjadi kunci kejayaan mereka.


Errani berharap kejayaan itu menunjukkan bahawa pasukan beregu yang komited – ramai di antara mereka tidak dapat menyertai kejohanan – tetap mempunyai potensi besar.
“Saya rasa kemenangan ini juga untuk semua pemain beregu yang tidak dapat bermain dalam kejohanan ini,” kata Errani ketika menerima trofi bersama Vavassori. “Saya rasa kemenangan ini juga untuk mereka.”
Errani dan Vavassori mendahului 4-1 dalam set pembukaan final dan selepas Swiatek dan Ruud merampas satu break, pasangan Itali itu menamatkan set dengan servis meyakinkan daripada Vavassori.
Ketika ketinggalan satu break pada kedudukan 4-5 dalam set kedua, Swiatek dan Ruud bangkit memenangi tiga permainan berturut-turut untuk memaksa tiebreak 10 mata.
Pasangan Itali itu mendahului 4-0 dan mengekalkan kelebihan untuk menang.
“Tahniah,” kata Swiatek semasa majlis penyampaian trofi.
“Saya rasa awda membuktikan bahawa pemain beregu campuran lebih bijak secara taktikal daripada pemain perseorangan. Tetapi kami berjuang hingga akhir.”
Tiga pusingan pertama – termasuk separuh akhir semalam – dimainkan dengan format set pendek hingga permainan, tanpa kelebihan deuce dan tiebreak 10 mata menggantikan set ketiga, sebelum final kembali menggunakan format set tradisional dengan tiebreak 10 mata. – AFP

