Thursday, November 28, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Erysha Emyra tak halang Noniswara kahwin lagi

    Pelakon Malaysia, Erysha Emyra tidak pernah menghalang ibunya iaitu aktres Datin Seri Noniswara kembali mendirikan rumah tangga selepas kematian suami setahun lalu.

    Kata Erysha atau Nur Erysha Emyra Zakaria, 25, dia dan adik-beradik yang lain tidak keberatan menerima kehadiran bapa tiri baharu asalkan lelaki berkenaan boleh menjaga ibu mereka dengan baik.

    “Kami adik-beradik tidak menghalang sekiranya ibu mahu mendirikan rumah tangga semula.

    “Kalau memang betul ada jodoh dia yang datang melamar dan mahu menjaganya, siapa kita untuk menolak jodoh.

    “Cuma mungkin sebagai anak kami mahu berjumpa terlebih dahulu dengan siapa ibu berkawan dan barulah kami bersetuju,” katanya kepada mStar.

    Erysha terbuka untuk menerima pilihan Noniswara. – mStar

    Erysha berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media tiga buah drama iaitu Curang Tanpa Niat, Rahsiamu Selamat Denganku dan Opis Politik di Zebra Square, Kuala Lumpur kelmarin.

    Dalam pada itu, Erysha memberitahu dia sebenarnya tidak mahu ikut campur urusan peribadi Noniswara namun dia tempat ibunya mengadu jika berasa sunyi.

    Erysha bagaimanapun memberitahu keadaan ibunya semakin baik malah cuba mengalihkan perhatian dengan melakukan pelbagai perkara bagi mengelak rasa sunyi.

    “Saya tahu dia masih bersedih, kadang-kadang ada juga dia telefon anak-anak.

    “Saya tahu dia agak kesunyian kerana dulu dia banyak masa bersama bapa tiri.

    “Sekarang dia cuba sibukkan diri dengan habiskan masa bersama anak-anak dan kawan-kawan,” ujarnya.

    Sebelum ini, Noniswara memberitahu dia belum terbuka hati untuk berkahwin semula walaupun menerima banyak lamaran daripada lelaki.

    Noniswara bagaimanapun memberitahu dia tidak mahu bercakap takbur kerana bimbang satu hari nanti hatinya terbuka untuk berkahwin lagi. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda