Pelakon Erysha Emyra terpaksa menangguhkan hasrat untuk melanjutkan pengajian di peringkat universiti meskipun mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun 2016.
Menurut Erysha atau Nur Erysha Emyra Zakaria, 25, dia membuat keputusan itu selepas mula melibatkan diri dalam dunia lakonan kerana merasakan ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebelum memikirkan tentang pengajian.
“Jujur saya katakan sekarang ini, untuk sambung belajar saya tangguh dahulu. Apabila sudah bekerja, kita ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
“Jadi rasanya sekarang ini biarlah saya bekerja dahulu,” katanya kepada mStar.
Pelakon drama Aku Bukan Ustazah ini bagaimanapun berkata dia sama sekali tidak pernah menganggap ilmu dan pendidikan itu sebagai satu perkara remeh.
Bagi Erysha, tidak kira apa jua peringkat umur sekalipun, masih ada peluang untuk manusia menimba ilmu bagi memperbaiki diri.
Malah, dia juga kurang bersetuju apabila ada segelintir anak muda yang berfikiran gagal dalam SPM adalah satu perkara biasa.
“Saya kurang setuju apabila ada yang buat content tentang kegagalan dalam SPM dan anggap ia tidak penting. Pada peringkat mana sekalipun pendidikan adalah penting. Tak elok nak galakkan orang dengan content sebegitu.
“Dalam lakonan pun saya cuba untuk mengikuti kelas untuk perbaiki hasil kerja. Saya takut untuk rasa terlalu selesa,” ujarnya. – Agensi