Thursday, October 5, 2023
23.2 C
Brunei

    -

    Esei fokus keindahan alam sekitar Oman muncul juara

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Esei tulisan Awang Mohammad Kafil Ifwat bin Awang Ariffin Zainal yang membincangkan keindahan alam sekitar di Kesultanan Oman telah berjaya mencuri perhatian hakim sekali gus diumumkan sebagai pemenang pertama Pertandingan Menulis Esei mengenai Kesultanan Oman.

    Penyampaian hadiah dan sijil penghargaan pada majlis yang berlangsung di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah disempurnakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Erma Said Al Kathiry selaku tetamu kehormat majlis.

    Pertandingan anjuran bersama UNISSA melalui Fakulti Bahasa Arab dengan Kedutaan Kesultanan Oman di negara ini itu telah mendengarkan pembentangan daripada empat peserta.

    Dekan Fakulti Bahasa Arab, UNISSA, Dr Hajah Rafidah binti Haji Abdullah dalam ucapannya antara lain menjelaskan bahawa pertandingan berkenaan dibukakan kepada pelajar Fakulti Bahasa Arab yang telah menamatkan Kursus Intensif Bahasa Arab bagi Bukan Penutur Bahasa Arab di Sultan Qaboos College for Teaching Arabic to Non-Native Speakers, Kesultanan Oman pada Mac lalu.

    Beliau menambah, pihak Fakulti Bahasa Arab sangat bergembira dan berpuas hati dengan kerjasama yang terjalin antara Fakulti Bahasa Arab UNISSA dan Kedutaan Oman di Brunei dalam banyak program berkaitan bahasa Arab.

    Tiga peserta pertandingan yang lain terdiri daripada Awang Abdul Rashid bin Haji Zainie yang menyampaikan mengenai pendidikan di Kesultanan Oman.

    Manakala itu, Dayang Syahirah@Syakirah pula menjelaskan tentang budaya, sementara esei Dayang Nurul Muhassanah pula menfokuskan mengenai pelancongan.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Rektor UNISSA, Dr Norarfan bin Haji Zainal, pegawai-pegawai utama, para pensyarah dan pelajar-pelajar UNISSA.

    PYT Erma Said Al Kathiry menyampaikan hadiah kepada Awang Mohammad Kafil Ifwat. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Para peserta pertandingan bergambar ramai. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Pakistan arah warga Afghanistan tinggalkan negara

    ISLAMABAD, 4 OKT - Ratusan ribu rakyat Afghanistan yang tinggal secara haram di Pakistan telah diberi masa sehingga 1 November untuk meninggalkan negara itu...