Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Pameran bertema Wonderful Indonesia Expo (WIE) 2025 telah dirasmikan sempena pelancaran Pesta Pengguna dan Ekspo Perdagangan ke-30 di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, (ICC) kelmarin.
Hadir merasmikan pameran berkenaan ialah Duta Besar Republik Indonesia untuk Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Prof Dr Achmad Ubaedillah. Turut hadir ialah wakil-wakil dari Kamar Dagang Indonesia (KADIN), Persatuan Masyarakat Indonesia di Brunei (PERMAI), Persatuan Chef Indonesia (ICA) dan Ikatan Pengusaha Muslimah Indonesia (IPEMI).
Pameran yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) berkenaan menampilkan sebanyak 22 peserta pameran dari Indonesia yang menduduki 10 petak pameran di Plenary Hall dan 12 petak pameran di zon antarabangsa (Musyawarah Hall).
Pelbagai produk utama dipamerkan termasuk makanan dan minuman, farmasi, kosmetik, fesyen sopan, produk kulit, kraf tangan, serta bangunan terapung.
Menurut kenyataan daripada KBRI, jumlah perdagangan dua hala antara Indonesia dan Brunei terus meningkat dari tahun 2018 hingga 2022, iaitu dari AS$133.7 juta kepada AS$897.3 juta walaupun mengalami penurunan pada tahun 2023. Namun, pada tahun 2024 perdagangan kembali menunjukkan trend positif dengan nilai perdagangan sehingga November 2024 mencapai AS$629 juta, meningkat sebanyak 40 peratus berbanding tahun sebelumnya.