Wednesday, March 26, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Esma Daniel sambung belajar, tunai pesanan arwah bapa

    Lebih sedekad meninggalkan zaman belajar, pelakon Esma Daniel teruja bakal menyambung pengajian ijazah sarjana dalam bidang Seni Persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada April depan.

    Esma atau Esma Daniel Md Isa, 56, berkata dia memegang amanat arwah bapanya, Allahyarham Md Isa Abidin untuk terus menuntut ilmu meskipun sudah mempunyai pekerjaan yang diimpikan.

    Katanya, dia turut gembira akan belajar bersama-sama anak seni lain seperti Tomok dan Amerul Affendi.

    “Pesanan daripada arwah ayah saya juga untuk menyambung pelajaran walaupun sudah bekerja.  Dia juga sentiasa berpesan agar saya terus menimba ilmu tanpa mengira usia dan sentiasa istiqamah dalam setiap usaha.

    “Jadi saya rasa ini adalah masa terbaik untuk saya belajar dan teruskan karier lakonan saya juga. Terasa remaja semula apabila bakal mendaftarkan diri pada bulan April nanti,” katanya ketika dihubungi mStar.

    Berkongsi lanjut mengenai perkara itu, Esma memberitahu dia akan mengikuti kursus Pengkreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (ApelQ) yang dianggap bersesuaian dengan dirinya.

    Esma berkata kursus berkenaan juga memberi peluang kepada pelakon-pelakon sepertinya yang hanya mempunyai pendidikan di tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    “Walaupun akan ada tugasan serta pensyarah yang membimbing tapi saya tetap bekerja macam biasa. Cuma akan ada ditambah elemen pembelajaran di dalamnya.

    “Program ini juga tidak terikat dengan kelas yang perlu saya ikuti walaupun kursus ini sepenuh masa,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Esma memberitahu dia percaya dengan mengikuti kursus ini turut membantu dirinya mengembangkan diri dalam kerjayanya.

    “Dalam kehidupan ini perlu ada pencapaian tersendiri terutama dalam akademik. Selepas melakukan pelbagai perkara dalam dunia lakonan mahupun luaran saya rasa perlu ada ilmu tambahan dari segi akademik,” ujarnya. – Agensi

    Esma sedar kepentingan akademik pada masa kini. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda