MONTMELO, 4 SEPT – Aleix Espargaro berkata “ini untuk Pecco” selepas memenangi MotoGP Catalunya di Montmelo, kelmarin yang dicemari oleh kemalangan ngeri juara dunia, Francesco Bagnaia.
Rakan sepasukan Aprilia Espargaro, Maverick Vinales menduduki tempat kedua dengan Jorge Martin melengkapkan podium.
Ketika Espargaro meraikan kejayaan berganda dalam perlumbaan di halamannya selepas turut memenangi perlumbaan pecut pada Sabtu, Bagnaia menerima rawatan perubatan di hospital tempatan.
Bintang Ducati Itali itu telah memulakan perlumbaan dari petak pertama. Dia mengelak kemalangan berbilang motosikal yang dicetuskan oleh Enea Bastianini di selekoh pertama tetapi di selekoh seterusnya hilang kawalan.
Bagnaia terlempar dengan teruk daripada motosikal, Ducati di hadapan kumpulan pengejar.
KTM Brad Binder kemudiannya melanggar kaki pelumba berusia 26 tahun itu.
Ketua siri itu sedar, dan dibawa pergi ke pusat perubatan litar dengan ambulans, sambil penonton memberikan tepukan.
Dia kemudian dipindahkan ke hospital tempatan di mana “ujian menunjukkan beliau mengalami banyak lebam, tetapi tiada patah tulang”, menurut pasukannya.
“Dia akan kembali ke Itali petang ini bersama pasukan,” tambah Ducati.
Rakan sepasukan Bagnaia, Bastianini juga cedera dalam kemalangan pusingan pertama.
Dia mengalami patah tulang pada pergelangan kaki kiri dan tangannya apabila mencetuskan kemalangan yang melibatkan Alex Marquez (Ducati-Gresini) dan gandingan penunggang Itali, Fabio Di Giannantonio (Ducati-Gresini) dan Marco Bezzecchi (Ducati-VR46). – AFP


