KOTA KINABALU, 31 Julai – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dilihat berada di landasan betul berikutan kejayaan agensi itu menangkis jenayah berat membabitkan penjenayah rentas sempadan bagi satu tempoh yang panjang.
Setiausaha Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS) Mohd Zaki Harry Susanto berkata, komitmen berterusan kesemua elemen di bawah tanggungjawab ESSCom membuktikan pasukan keselamatan itu sentiasa bersiap siaga menghadapi segala kemungkinan dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
“Sebagai masyarakat, kita perlu menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kepada ESSCom atas keberkesanan penugasan mereka dan bukan hanya tahu menghentam apabila terdapat insiden berlaku di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
“Kita (masyarakat) perlu bersikap adil serta tidak harus berhenti daripada menjadi mata, telinga, dan mulut pihak berkuasa demi kesinambungan kesejahteraan hidup masyarakat khususnya di kawasan ESSZone,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Zaki berharap pihak ESSCom tidak mudah berpuas hati dan mahu kerajaan sentiasa meletakkan aspek keselamatan di kawasan perairan ESSZone sebagai keutamaan.
“ESSCom perlu sentiasa diperkasakan. Kewujudannya harus dirasai oleh masyarakat supaya ia sentiasa dianggap relevan.
“Pada masa sama, pihak MPSS mengharapkan inisiatif ‘Sahabat ESSCom’ digerakkan semula bagi membolehkan masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti penyaluran maklumat dengan berkesan,” katanya.
‘Sahabat ESSCom’ dilancarkan Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan di Tawau pada peringkat awal penubuhan agensi itu. – Bernama