SANDAKAN, 14 FEB – Satu kajian rintis sedang dilaksanakan di Sandakan dan Semporna berkaitan penerimaan masyarakat Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan itu, kata Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos.
Beliau berkata kajian itu dilakukan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan hasilnya akan dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta pengurusan tertinggi Kementerian Dalam Negeri pada penghujung bulan ini.
“Kajian seterusnya diperluas ke empat daerah yang terlibat dengan PKP ESS Zone. Melalui kajian ini akan dapat meneliti penerimaan masyarakat dan kumpulan sasar dalam sektor perdagangan, perniagaan, perikanan, pelancongan serta pendidikan terhadap langkah penjenamaan semula Perintah Berkurung kepada PKP ESS Zone,” katanya dalam teks ucapan sesi libat urus dan majlis dialog ESSCOM bersama komuniti ESS ZONE Sandakan.
Teks ucapan itu dibacakan oleh Timbalannya, Brig Jen Roslan Mat Saad.
Menurut Victor, sesi libat urus di sana merupakan penganjuran kedua selepas Semporna yang bertujuan melaksanakan kajian rintis berkenaan PKP ESS Zone susulan maklum balas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah tentang kesejahteraan masyarakat tempatan masih terjejas dengan penguatkuasaan perintah berkenaan, meskipun telah dijenamakan semula pada 17 Oktober tahun lepas. – Bernama
