LAHAD DATU, 4 SEPT – Bagi pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi melihat sendiri operasi agensi itu hari ini amat bermakna, membuktikan kepentingannya menjaga dan memastikan keselamatan Pantai Timur Sabah.
Komander ESSCom, DCP Victor Sanjos berkata agenda lawatan Al-Sultan Abdullah, selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke ESSCom menterjemahkan kesungguhan dan keprihatinan Seri Paduka terhadap keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara.
“Seri Paduka merupakan tubuh Malaysia dan Malaysia adalah Yang di-Pertuan Agong, dalam tempoh 10 tahun ini belum pernah tubuh negara Malaysia berangkat ke ibu pejabat ESSCom, kami cukup gembira dengan peluang ini sudah tentu Lahad Datu ini cukup dekat di hati Seri Paduka.
“Kehadiran Seri Paduka di ESSCom juga akan menjadi kenangan indah, pengalaman yang tidak dilupakan. Secara peribadi ini hadiah yang cukup bermakna buat saya dan anggota saya dalam usaha kita memastikan keselamatan di sini,” katanya kepada Bernama. – Bernama