Tuesday, March 11, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ESSCOM patah cubaan seludup rokok bernilai lebih RM870,000

    LAHAD DATU, 29 JAN – Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menahan dua warga asing dan mematahkan cubaan menyeludup rokok membabitkan nilai anggaran selepas cukai sebanyak RM871,854.40 dalam operasi di koloni setinggan atas air di Kampung Bakau, semalam.

    Komander ESSCOM DCP, Datuk Victor Sanjos berkata sejumlah 580,000 batang rokok putih pelbagai jenis dan 440 bungkusan kecil tembakau dirampas dalam operasi itu yang dilaksanakan hasil maklumat orang awam.

    Beliau berkata seorang wanita dan seorang lelaki warganegara Filipina yang ditangkap dipercayai aktif dalam kegiatan menyeludup rokok tanpa cukai, dan pihaknya merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda serta tiga bot enjin sangkut bernilai kira-kira RM62,000.

    Mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala siasatan kes penyeludupan pula di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967, katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Victor berkata ESSCOM sentiasa memantau dan akan terus memperhebat operasi-operasi khas seperti ini bagi mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan awam, khususnya di Pantai Timur Sabah. – Bernama

    Datuk Victor Sanjos semasa ditemubual bersama Bernama di Pejabat Bernama Kota Kinabalu pada 15 Oktober 2024. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda