LAHAD DATU, 27 FEB – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menahan 14 warga Filipina daripada 1,555 individu yang diperiksa dalam tujuh hari Operasi Bersepadu sejak 20 Februari lepas di Semporna, kata Komandernya, Datuk Hamzah Ahmad.
Beliau berkata sepanjang tempoh itu 102 individu ditahan bagi tujuan dokumentasi dan kemudian 14 warga Filipina berumur antara 17 hingga 47 tahun ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966.
“Sebanyak 440 rumah termasuk pondohan (pondok kecil) diperiksa di 11 lokasi antaranya Pulau Bum Bum serta gugusan Pulau Bodgaya dan Bohey Dulang oleh Bahagian Penguat kuasa Pejabat Daerah Semporna, Majlis Daerah Semporna dan Jabatan Tenaga Kerja.
Pemotongan sambungan haram elektrik rampasan 110 kilogram kabel elektrik turut dilakukan pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) selain penguatkuasaan saman dan kompaun oleh majlis daerah, di samping 316 kenderaan diperiksa dengan 76 keping saman lalu lintas dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hamzah dalam pada itu berkata Esscom mempergiatkan usaha bagi memastikan persekitaran sejagat Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) selamat dan terjamin.
Sementara itu beliau berharap masyarakat dapat menyalurkan maklumat membabitkan sebarang insiden dalam kawasan Esszone dengan menghubungi Pusat Operasi
Esscom di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp 011-63311072. – Bernama
