TEHRAN, 14 MEI – Bekas bintang Belanda yang pernah beraksi bersama AC Milan, Ajax Amsterdam, Inter Milan dan Real Madrid, Clarence Seedorf telah dilantik sebagai perunding sukan kepada Kelab Bola Sepak Esteghlal (FC) Iran, lapor agensi berita Republik Islam Iran (IRNA).
Pelantikan itu dibuat selepas kejayaan rundingan dengan Pengurus Besar Esteghlal, Ali Nazari-Juybari.
Seedorf dijadualkan berada di Iran selama dua minggu setiap bulan bagi melaksanakan peranannya sebagai perunding.
Dia turut akan meneruskan kerjasama sedia ada dengan rangkaian televisyen serta Persatuan Bola Sepak Diraja Belanda sambil menjalin kerjasama dengan Esteghlal.
Itu merupakan pengalaman sulung Seedorf sebagai tokoh antarabangsa yang terlibat dalam pengurusan sukan di sebuah kelab bola sepak Iran.
Nazari-Juybari turut berkongsi gambar bersama Seedorf di akaun media sosialnya, sambil menyatakan bahawa kerjasama itu mencerminkan usaha kelab itu untuk menyelaraskan struktur teknikalnya dengan piawaian saintifik terkini di peringkat antarabangsa.
Dia berkata Seedorf akan membantu pengurusan kelab dalam pemilihan ketua jurulatih baharu serta terlibat dalam semua proses membuat keputusan. – Bernama
