Khamis, November 20, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Estevao, Casemiro pimpin Brazil menang di Emirates

    LONDON, 16 NOV – Brazil menewaskan pasukan yang turut layak ke Piala Dunia, Senegal 2-0 di Stadium Emirates, Arsenal, kelmarin menerusi jaringan remaja sensasi, Estevao dan pemain veteran, Casemiro.

    Pasukan Carlo Ancelotti, yang menampilkan gabungan serangan mengagumkan termasuk Estevao, Matheus Cunha, Rodrygo dan Vinicius Jr, menguasai separuh masa pertama perlawanan persahabatan di London.

    Cunha dari Manchester United hampir membuka tirai jaringan melalui tandukan tetapi terkena tiang, sebelum Estevao dari Chelsea memberikan kelebihan kepada pasukan Amerika Selatan itu pada minit ke-28.

    Pemain berusia 18 tahun itu bernasib baik kerana bola jatuh di kaki kanannya dan menyudahkan hantaran lintang ke penjuru gol melepasi penjaga gol Senegal, Edouard Mendy.

    Ia merupakan gol keempatnya dalam perlawanan ke-10 buat Brazil dan menonjolkan dirinya sebagai salah seorang pemain yang perlu diberi perhatian menjelang Piala Dunia tahun depan di Amerika Utara.

    Kalidou Koulibaly (Kiri) bersaing dengan Vinicius Jr semasa perlawanan bola sepak di Stadium Emirates di London pada 15 November. – AFP

    Kapten Casemiro, 33, menggandakan kelebihan Brazil pada minit ke-35, mengawal sepakan percuma Rodrygo dengan cantik sebelum melencongkan bola ke sudut atas selepas menemui ruang di kawasan lawan.

    Iliman Ndiaye sepatutnya berjaya merapatkan jurang untuk pasukan Afrika Barat sejurus selepas rehat selepas kecuaian penjaga gol Brazil, Ederson, tetapi percubaannya tersasar keluar daripada gawang.

    Pemain terbaik Afrika dua kali, Sadio Mane, tidak dapat memberikan semangat kepada pasukannya untuk bangkit kembali dan dikeluarkan pada minit ke-75.

    Juara dunia lima kali, Brazil, mara ke Piala Dunia tahun depan di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat selepas kempen yang hambar di mana mereka menduduki tempat kelima dalam kelayakan Amerika Selatan.

    Senegal, juara Piala Negara-negara Afrika 2021, menewaskan Mauritania bulan lalu untuk mengesahkan tempat mereka di Piala Dunia. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda