Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ethiopia tanam 566 juta pokok dalam sehari

    HUDUR, SOMALIA, 18 JULAI – Ethiopia pada Isnin melancarkan kempen untuk menanam lebih 500 juta pokok dalam masa 24 jam, bertujuan mewujudkan persekitaran yang lebih hijau dan bersih, selain menangani kesan buruk perubahan iklim. 

    Kempen itu diterajui oleh Perdana Menteri Abiy Ahmed yang turut mengambil bahagian bersama pegawai kanan kerajaan, lapor agensi Anadolu.

    Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), Abiy Ahmed dan isteri Zinash Tayachew akan melancarkan program Green Legacy dengan menanam pokok epal bersama kakitangan PMO.

    Perdana Menteri berkata rakyat turut aktif mengambil dalam kempen itu, membolehkan Ethiopia berjaya memenuhi hasrat untuk menanam sekurang-kurangnya 500 juta pokok di seluruh negara.

    “Hasilnya sebanyak 566 juta anak pokok telah ditanam di seluruh kawasan di Ethiopia, dari awal pagi hingga petang Isnin,” katanya.

    Menteri Luar, Birtukan Ayano, turut mengambil bahagian dalam kempen itu yang dijalankan di bandar Harar.

    Beliau berkata Inisiatif Warisan Hijau kini menjadi kepentingan nasional dan Addis Ababa komited untuk terus menyumbang kepada usaha antarabangsa mewujudkan dunia yang lebih hijau dan bersih sambil menangani kesan buruk perubahan iklim.

    Ethiopia antara negara paling teruk terjejas akibat kemarau berkaitan perubahan iklim.

    Laporan baru-baru ini menyatakan, seramai 24 juta penduduk kini tinggal di kawasan yang dilanda kemarau di negara ini, dengan anggaran 11 juta menghadapi masalah kekurangan makanan, manakala kira-kira 6.85 juta kes ternakan mati dilaporkan sejak akhir 2021.

    Walaupun hanya menyumbang kira-kira empat peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global, Afrika secara keseluruhannya semakin terdedah kepada kesan perubahan iklim.- Bernama

    Gambar Freepik.

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda