Etiopia lancar satelit pertama

ADDIS ABABA, 20 DIS – Etiopia melancarkan satelit pertamanya hari ini, yang merupakan satu pencapaian penting bagi program angkasa negara itu selepas berdepan dengan beberapa cabaran dalam perindustrian angkasa bagi Afrika.

Pelancaran Satelit Pengesan Jarak Jauh Etiopia (ETRSS) dilancarkan di sebuah stesen angkasa di China, walaupun ramai pegawai dan saintis Etiopia dan China berkumpul di Balai Cerap dan Penyelidikan Entoto di luar ibu negara, Addis Ababa, awal pagi hari ini untuk menonton siaran langsung.

“Ini akan menjadi asas bagi perjalanan bersejarah kita untuk kemakmuran,” kata Timbalan Perdana Menteri Demeke Mekonnen dalam ucapannya. “Infrastruktur teknologi ini penting walaupun ia tertangguh.”

Ia adalah pelancaran satelit Afrika kelapan pada tahun ini, mendahului rekod sebelumnya iaitu tujuh satelit pada 2017, menurut Temidayo Oniosun, pengarah urusan angkasa di Afrika, sebuah syarikat yang berpangkalan di Nigeria yang menjejaki program ruang angkasa Afrika.

“Kita boleh mengatakan bahawa 2019 adalah tahun yang paling baik dalam sejarah industri angkasa Afrika,” kata Oniosun kepada AFP.

Pelancaran itu menjadikan Etiopia sebagai negara Afrika ke-11 meletakkan satelit ke angkasa lepas. Mesir adalah yang pertama pada tahun 1998. Sebanyak 41 satelit Afrika kini telah dilancarkan – 38 dari negara masing-masing dan tiga lagi yang merupakan usaha multilateral, kata Oniosun.

Tiada yang dilancarkan dari tanah Afrika. Data yang disediakan oleh satelit Etiopia dijangka mencatatkan lebih banyak gambaran tentang sumber pertanian, perhutanan dan perlombongan negara dan meningkatkan respons terhadap banjir dan bencana lain. – AFP

Seorang penduduk tempatan berwasfoto berlatar belakangkan antena satelit semasa majlis pelancaran ETRSS di Addis Ababa. – AFP