ADDIS ABABA, 1 APRIL – Kerajaan Etiopia melancarkan kempen vaksinasi kolera di bahagian barat negara itu, memberi sasaran kepada kira-kira sejuta penduduk berisiko, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, Kementerian Kesihatan Etiopia memaklumkan vaksinasi itu akan dilaksanakan di semua zon di Wilayah Gambella serta kem pelarian sepanjang minggu hadapan.
Pelaksanaan kempen itu dibuat susulan gesaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pelbagai agensi kemanusiaan lain untuk meningkatkan usaha menangani wabak kolera yang sedang menular dengan pantas di Wilayah Gambella, yang bersempadan dengan Sudan Selatan.
Menteri Kesihatan Etiopia, Mekdes Daba, ketika berucap pada majlis pelancarannya menegaskan, selain memperluaskan akses kepada vaksin kolera, penjagaan kebersihan diri dan persekitaran adalah langkah pencegahan penting bagi mengelakkan penularan wabak itu.
Sementara itu, badan perubatan antarabangsa Medecins Sans Frontieres (MSF) kelmarin memberi amaran krisis kemanusiaan semakin kritikal di kedua-dua bahagian sempadan Sudan Selatan-Etiopia, susulan peningkatan keganasan, pemindahan penduduk secara besar-besaran serta penularan wabak kolera yang meluas.
MSF juga memaklumkan bahawa Selatan Sudan telah berdepan dengan wabak kolera sejak tahun lepas dan gelombang terbaharu yang bermula di Negeri Upper Nile kini semakin merebak ke seluruh negara serta menyeberangi sempadan ke Wilayah Gambella, Etiopia. – Bernama
