Jumaat, November 21, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Etiopia sahkan kes virus Marburg

    NAIROBI, 16 NOV – Etiopia mengesahkan berlakunya wabak virus Marburg yang maut di selatan negara itu, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC), kelmarin.

                Virus Marburg merupakan salah satu patogen paling maut yang diketahui. Seperti virus Ebola, ia menyebabkan pendarahan teruk, demam, muntah dan cirit-birit serta mempunyai tempoh inkubasi selama 21 hari.

                Seperti Ebola juga, ia merebak melalui sentuhan dengan cecair badan dan kadar kematiannya antara 25 hingga 80 peratus.

                Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Tedros Adhanom Ghebreyesus dari Etiopia, mengesahkan pada Jumaat bahawa sekurang-kurangnya sembilan kes telah dikesan di selatan Etiopia, dua hari selepas Africa CDC dimaklumkan mengenai virus berdarah yang disyaki di kawasan itu.

                “Penyakit virus Marburg (MVD) telah disahkan oleh Makmal Rujukan Nasional (di Etiopia),” kata Africa CDC.

                “Penyiasatan epidemiologi lanjut dan analisis makmal sedang dijalankan dan strain virus yang dikesan menunjukkan persamaan dengan yang pernah dikenal pasti di Afrika Timur.”

                Africa CDC berkata pihak berkuasa kesihatan Etiopia telah bertindak pantas untuk mengesahkan dan mengekang wabak di kawasan Jinka.

                Mereka juga akan bekerjasama dengan EtEiopia bagi memastikan tindak balas berkesan dan mengurangkan risiko virus ini merebak ke bahagian lain di Afrika Timur.

                Satu wabak virus Marburg telah meragut 10 nyawa di Tanzania pada Januari sebelum berakhir pada Mac.

                Rwanda pula pada Disember 2024 mengumumkan berjaya membendung wabak Marburg pertamanya yang menyebabkan 15 kematian.

                Tiada vaksin atau rawatan antivirus yang diluluskan untuk virus Marburg, namun rehidrasi secara oral atau intravena dan rawatan simptom tertentu meningkatkan peluang pesakit untuk terus hidup.

                Tahun lalu, Rwanda telah mencuba vaksin eksperimen dari Sabin Vaccine Institute yang berpusat di Amerika Syarikat. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda