NAIROBI, 14 NOV – Pihak berkuasa kesihatan Afrika kelmarin mengesahkan kemungkinan berlakunya wabak demam berdarah virus yang belum dikenal pasti di selatan Etiopia, susulan lapan kes disyaki dilaporkan dan kini sedang dalam siasatan.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC), Kementerian Kesihatan Etiopia dijangka mengumumkan hasil siasatan yang sedang dijalankan hari ini.
Demam berdarah virus merangkumi kumpulan penyakit mudah merebak, termasuk penyakit virus Marburg dan Ebola, demam berdarah Congo-Krim serta demam Lassa yang kesemuanya pernah dikesan di benua Afrika dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin memaklumkan pihaknya sedang menghantar 11 pegawai teknikal untuk membantu Etiopia dalam kerja-kerja siasatan dan tindak balas terhadap wabak tersebut.
“WHO juga menyediakan bekalan penting termasuk peralatan perlindungan diri untuk petugas kesihatan, kelengkapan pencegahan jangkitan serta khemah pengasingan mudah alih bagi meningkatkan kapasiti rawatan dan pengurusan klinikal,” menurut agensi PBB itu dalam satu kenyataan.
Wabak berkenaan dilaporkan di wilayah selatan Omo, kawasan yang bersempadan dengan Sudan Selatan. Ketua Pengarah Afrika CDC, Jean Kaseya berkata kelmarin, situasi itu membimbangkan kerana ‘Sudan Selatan tidak jauh dan mempunyai sistem kesihatan yang rapuh.’ – AP

