BRUSSELS, 6 FEB – Suruhanjaya Eropah (EU) mengumumkan kelmarin bahawa ia akan mencadangkan untuk mengenakan caj baharu ke atas import e-dagang, sebagai sebahagian daripada usaha menangani lonjakan produk ‘berbahaya’ yang memasuki blok itu, sebahagian besar daripadanya datang dari China.
Tindakan EU itu menyusul kenyataan Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat (USPS) yang mengumumkan penggantungan penerimaan pakej dari China dan Hong Kong, suatu langkah yang boleh memberi kesan kepada platform berharga rendah seperti Temu dan Shein. Namun, Suruhanjaya EU menjelaskan bahawa kedua-dua tindakan itu ‘tidak diselaraskan’.
Mengumumkan langkah tersebut pada sidang akhbar di Brussels, Ketua Teknologi EU, Henna Virkkunen berkata jumlah pakej import e-dagang telah meningkat dua kali ganda dari 2023 ke 2024, mencapai 12 juta sehari.
“Banyak daripada produk ini didapati tidak selamat, palsu, atau bahkan berbahaya,” katanya.
Suruhanjaya juga menyeru kepada pembuat undang-undang EU dan negara anggota untuk ‘mempertimbangkan’ caj pengendalian ke atas pakej e-dagang yang diimport terus kepada pengguna, bagi menangani ‘kos pengawasan pematuhan’ dengan peraturan EU.
Langkah itu “bertujuan untuk menangani kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kesan produk tersebut terhadap kesihatan dan keselamatan pengguna Eropah,” tambah Virkkunen.
“Ia juga melihat kerosakan alam sekitar dan iklim yang signifikan yang disebabkan oleh penghantaran ini, serta ketidakseimbangan yang diwujudkan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab terhadap PKS dan perniagaan kami.”
Menurut suruhanjaya, kira-kira 90 peratus daripada pakej yang terlibat datang dari China, banyak daripadanya dijual oleh gergasi e-dagang China yang sedang berkembang, Shein dan Temu.
Kedua-dua platform yang diasaskan di China itu disyaki oleh Brussels kerana tidak melakukan tindakan yang cukup untuk mencegah penjualan produk yang tidak memenuhi piawaian Eropah.
Suruhanjaya juga mengesahkan pelancaran siasatan ke atas Shein kerana tidak mematuhi peraturan perlindungan pengguna blok itu. – AFP