BRUSSELS, 30 JAN – Kesatuan Eropah (EU) akan mengadakan rundingan strategik hari ini bagi merangsang semula industri automotif Eropah yang kini berdepan cabaran besar, dengan ketua eksekutif syarikat utama dijangka menghadiri sesi perbincangan mengenai denda pelepasan karbon serta persaingan sengit dari China.
Industri automotif, yang menyumbang sekitar tujuh peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) EU dan menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 13 juta individu, kini berdepan tekanan untuk mengekalkan daya saing dalam pasaran global.
Rundingan itu, yang dipengerusikan oleh Presiden Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen, dijangka menghimpunkan pemimpin industri automotif, pembekal utama, kumpulan masyarakat sivil serta pihak berkepentingan lain bagi mencari penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi sektor berkenaan.
“Suruhanjaya EU mengakui keperluan mendesak serta tahap kritikal situasi ini, dan perlunya tindakan tegas bagi menangani isu tersebut,” menurut kenyataan badan eksekutif EU.
Sesi perbincangan itu diadakan ketika EU mula beralih kepada pendekatan yang lebih mesra perniagaan, susulan aduan bahawa tumpuan berlebihan terhadap perubahan iklim serta etika perniagaan sebelum ini telah menghasilkan peraturan yang ketat sehingga menjejaskan daya saing syarikat Eropah.
EU kelmarin telah mengumumkan pelan tindakan baharu untuk merombak model ekonomi blok tersebut, di tengah kebimbangan bahawa produktiviti rendah, kos tenaga yang tinggi serta kelembapan pelaburan menyebabkan EU ketinggalan berbanding Amerika Syarikat dan China. – AFP