Wednesday, March 26, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU bakal guna lesen memandu digital pada 2030

    ISTANBUL, 26 MAC – Kesatuan Eropah (EU) akan menerima pakai arahan menjelang akhir 2030 untuk memperkenalkan lesen memandu digital yang boleh diakses melalui telefon mudah alih atau peranti digital lain, umum Suruhanjaya Eropah kelmarin.

    Arahan yang dikemas kini itu juga akan menyemak piawaian kesesuaian pemandu minimum di seluruh negara anggota EU dan mengharmonikan tempoh percubaan untuk pemandu baharu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

    Menurut Suruhanjaya, peraturan baharu itu bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya dan meringankan beban pentadbiran untuk rakyat dan pihak berkuasa.

    Ciri utama kemas kini itu termasuk pelancaran program pemanduan iringan seluruh EU untuk individu berumur 17 tahun ke atas, langkah yang terbukti meningkatkan keselamatan jalan raya.

    Mereka yang lebih suka versi fizikal lesen mereka masih boleh mendapatkannya. Jika lesen itu juga berfungsi sebagai kad pengenalan, ia akan sah selama 10 tahun. Bagi mereka yang menggunakannya semata-mata sebagai permit memandu untuk kereta dan motosikal, tempoh sahnya adalah 15 tahun.

    “Peraturan lesen memandu yang dikemas kini ini menandakan langkah utama ke hadapan dalam memodenkan sistem pelesenan kami dan meningkatkan keselamatan jalan raya di seluruh EU,” kata Pesuruhjaya Pengangkutan, Apostolos Tzitzikostas.

     “Daripada lesen digital kepada sokongan untuk pemandu muda, perjanjian ini menjadikan mobiliti lebih selamat dan cekap, membantu kita bergerak lebih dekat kepada matlamat Wawasan Sifar kita iaitu sifar kematian di jalan raya,” katanya lagi. – Bernama/Anadolu 

    Lesen memandu digital boleh diakses melalui telefon pintar pada 2030. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda