BRUSSELS, 28 JUN – Kesatuan Eropah (EU) belum mencapai persetujuan berhubung senarai ‘negara selamat’ asal pelancong yang boleh melawat Eropah pada bulan depan, dengan beberapa negara anggota memerlukan lebih banyak masa untuk membuat keputusan, kata diplomat, semalam.
Selepas perbincangan selama berhari-hari, perwakilan EU kelmarin bersetuju untuk mengusulkan senarai 14 negara kepada kerajaan mereka, dengan Amerika Syarikat (AS) yang masih berdepan penularan COVID-19, kekal dikecualikan.
Croatia yang menyandang jawatan Presiden EU ketika ini, meminta agar maklum balas diberikan menjelang jam 4 petang semalam dengan harapan ia boleh diundi 27 negara anggota. “Rundingan masih berterusan di mana ia akan berlanjutan hingga Isnin.
“Belum ada yang kelihatan jelas, namun Presiden tetap berharap undian dapat diadakan pada Isnin,” kata sumber EU kepada AFP. Senarai 14 negara ‘selamat’ yang dicadangkan itu ialah Algeria, Australia, Kanada, Georgia, Jepun, Montenegro, Maghribi, New Zealand, Rwanda, Serbia, Korea Selatan, Thailand, Tunisia dan Uruguay.
Pelancong dari China juga akan diberikan kebenaran untuk masuk, namun dengan syarat Beijing melakukan tindakan sama bagi pelancong Eropah.
Perjalanan tidak penting ke EU telah disekat sejak pertengahan Mac lalu tetapi hanya selepas negara anggota menutup sempadan mereka ketika penularan wabak itu semakin meningkat.
Sekatan akan beransur-ansur ditarik balik mulai 1 Julai ini seiring penurunan kadar jangkitan – sekurang-kurangnya di Eropah – dan beberapa negara mengharapkan penyelarasan erat dengan EU.
Namun, sebarang keputusan di Brussels akan hanya sebagai cadangan susulan kawalan sempadan tetap bawah urusan negara masing-masing, malah penerbangan keluar dan masuk membabitkan negara dilarang masih berterusan sepanjang tempoh krisis COVID-19.
Perbincangan berlanjutan dengan beberapa negara anggota EU mahu mengehadkan pembukaan semula kepada negara mengikut keadaan epidemiologi ‘setanding atau lebih baik’ dari blok itu – iaitu 16 atau kurang lagi kes COVID-19 bagi setiap 100,000 penduduk dalam tempoh dua minggu lalu. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2020/06/page-2-A_29062020.jpg)