Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU benarkan pengembara AS kembali

    BRUSSELS, 16 JUN – Anggota negara Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk membatalkan sekatan perjalanan koronavirus ke atas pengembara dari lapan buah negara dan wilayah termasuk Amerika Syarikat (AS), pegawai dan diplomat berkata hari ini.

    Senarai putih negara-negara dan rantau yang dikecualikan dari penggantungan perjalanan akan diluaskan merangkumi Albania, Macedonia Utara, Serbia, Lubnan, AS, Taiwan, Macau dan Hong Kong, menurut mereka.

    Anggota negara EU masih boleh memilih untuk mewajibkan pengembara dari kawasan-kawasan tersebut untuk menjalani ujian COVID-19 atau menjalani pengasingan diri, tetapi sebaik sahaja senarai baharu diluluskan mereka adalah disarankan untuk mengecualikan para pengembara dari penggantungan perjalanan.

    Disebabkan pandemik, EU terpaksa menutup sempadannya pada Mac 2020 bagi perjalanan kurang penting dan dalam tempoh setahun telah membuat kemas kini senarai negara bukan ahli yang mana penduduknya dibenarkan untuk membuat perjalanan ke Eropah.

    Jepun, Australia, Israel, New Zealand, Rwanda, Singapura, Korea Selatan dan Thailand sudah dimasukkan ke dalam senarai yang diluluskan.

    Negara-negara lain boleh dimasukkan jika mereka mencatat kurang 75 kes COVID-19 per 100,000 penduduk bagi tempoh 14 hari. Di AS, kadarnya adalah 73.9, menurut angka dari Pusat Pengawalan Penyakit dan Pencegahan Eropah (ECDC).

    Berita bahawa AS akan dimasukkan dalam senarai yang diluluskan dibuat sehari selepas Brussels dan Washington mengukuhkan semula hubungan persahabatan semasa sidang kemuncak antara Presiden Joe Biden dan Ketua EU, Ursula von der Leyen dan Charles Michel. – AFP

    Penduduk AS bersiar-siar di kawasan lapangan. EU bersetuju untuk membatalkan sekatan perjalanan koronavirus ke atas pengembara dari lapan buah negara dan wilayah termasuk AS. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda