Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU beri Ukraine, Moldova status calon anggota

    BRUSSELS, 24 JUN – Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) telah menerima Ukraine dan Moldova sebagai status calon untuk menganggotai blok itu, kata Presiden Majlis Eropah Charles Michel kelmarin, lapor Xinhua.

    “Perjanjian #EUCO telah memutuskan mengenai status calon Ukraine dan Moldova. Ia merupakan peristiwa bersejarah,” kata Michel menerusi ciapannya dalam Twitter. EUCO ialah singkatan bagi Majlis Eropah, yang dihadiri pemimpin-pemimpin EU di Brussels.

    Ketua negara dan negara anggota EU meluluskan saranan Suruhanjaya Eropah pada sidang kemuncak dua hari mereka di Brussels yang berlangsung pada Khamis hingga kelmarin.

    Ukraine memohon keahlian EU sejurus selepas konflik dengan Rusia tercetus pada akhir Februari.

    Negara itu menyerahkan permohonannya pada 28 Feb, manakala Moldova dan Georgia memohon keahlian EU pada 3 Mac.

    Suruhanjaya Eropah memaklumkan pada awal minggu lalu bahawa permohonan Georgia akan disemak semula.

    Negara-negara yang menjadi calon rasmi EU perlu memenuhi syarat penyertaan berdasarkan kriteria EU sebelum menyertai blok itu, termasuk isu berkaitan keadilan, mekanisme antirasuah dan kedaulatan undang-undang.

    Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky memuji keputusan itu dan disifatkan sebagai “detik bersejarah untuk Ukraine-EU,” sambil mengucapkan terima kasih kepada pemimpin EU atas sokongan yang diberikan. – Bernama

    Charles Michel (tengah) berucap semasa sidang media sebagai sebahagian daripada Majlis Eropah di Brussels kelmarin. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda