BRUSSELS, 8 JAN – Presiden Majlis Eropah, Charles Michel kelmarin mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan lebih awal, mencetuskan perlumbaan bagi pemimpin-pemimpin Kesatuan Eropah (EU) untuk mencari pengganti bagi jawatan penting itu.
Bekas perdana menteri Belgium berusia 48 tahun itu telah menganjurkan sidang kemuncak EU dan mesyuarat kerajaan sejak 2019 dan sepatutnya meninggalkan jawatan pada November.
Namun, beliau berkata akan meletakkan jawatan lebih awal kerana beliau akan bertanding dalam pilihan raya parlimen Eropah yang akan diadakan pada bulan Jun. Michel akan mengetuai Pergerakan Reformis yang liberal dalam pilihan raya tersebut.
“Empat tahun selepas memulakan penggal saya sebagai pemimpin Eropah, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan penjelasan tentang kerja saya sepanjang beberapa tahun lalu dan mencadangkan projek untuk masa depan Eropah,” kata Michel.
Beliau juga bersedia untuk mengambil ‘risiko peribadi’ dengan meletak jawatan dalam keadaan yang kontroversial ini.
Satu sidang kemuncak EU dijadualkan berlangsung selepas pilihan raya 6-9 Jun, dan ‘pada masa ini, ia perlu memutuskan bila pengganti saya akan mengambil alilh jawatan ini’, kata Michel.
Jika pemimpin-pemimpin EU tidak dapat mencari pengganti menjelang tarikh tersebut, Perdana Menteri Hungary yang berhaluan nasionalis, Viktor Orban, yang sering berselisih dengan Brussels, akan mengambil alih jawatan itu buat sementara waktu.
Sebagai presiden majlis, salah satu tugas utama Michel ialah mengawasi sidang kemuncak EU yang telah menentukan tindak balas blok itu terhadap pelbagai krisis termasuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Orban telah mengekalkan hubungan rapat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin sejak perang bermula. – AFP
