BRUSSELS, 27 MEI – Kesatuan Eropah (EU) sedang berusaha memusatkan pembelian vaksin serta rawatan cacar monyet, dengan perincian dijangka dipersetujui ‘tidak lama lagi,’ beritahu Suruhanjaya Eropah kepada AFP semalam.
Usaha itu, dilakukan menerusi Pihak Berkuasa Kecemasan dan Kesiapsiagaan Kesihatan (HERA), menyusul ketika agensi penyakit EU mengingatkan jumlah penularan kes cacar monyet di kalangan manusia di seluruh dunia telah mencecah 219.
Bekas anggota EU, Britain mencatat jumlah kes tertinggi pada 71, diikuti oleh negara EU Sepanyol, dengan 51 kes dan Portugal, 37 kes.
Jurucakap suruhanjaya untuk isu kesihatan, Stefan De Keersmaecker memberitahu AFP bahawa ‘HERA sedang bekerjasama dengan negara anggota dan juga pihak pengeluar untuk memperoleh vaksin dan rawatan terapeutik bagi cacar monyet.”
Sebanyak 27 negara EU telah mencapai kata sepakat HERA akan mengusahakan vaksin suntikan bagi pihak mereka ‘secepat mungkin,’ katanya, sambil menambah: “Prosedur sebenar akan diputuskan bersama negara anggota dalam tempoh beberapa hari lagi.”
“Namun buat masa sekarang, kami tidak boleh memberitahu sebarang angka terbabit,” katanya.
Sementara EU telah pun memainkan peranan utama sebagai penyelaras dan pembeli berbilion dos vaksin COVID untuk negara anggota, De Keersmaecker berkata situasi cacar monyet adalah berbeza.
Pelaksanaan vaksinasi cacar monyet ‘akan dihadkan kepada kes amat khusus kerana kadar jangkitan dan risiko akibat virus itu bukan seperti COVID,” kata beliau. – AFP