BRUSSELS, 20 SEPT – Suruhanjaya Eropah bercadang untuk memperbaharui penggunaan racun herba yang kontroversi dan digunakan secara meluas, glyphosate, di Kesatuan Eropah (EU) selama 10 tahun dalam teks yang diterbitkan hari ini, selepas sebuah laporan tidak melihat alasan untuk menyekatnya.
Sebanyak 27 buah negara anggota EU akan membincangkan cadangan itu pada Jumaat ini. Ia perlu diluluskan oleh majoriti negara-negara tersebut semasa mesyuarat pada 13 Oktober.
Kelulusan semasa tamat pada Disember 2022 namun dilanjutkan selama setahun sementara menunggu kajian saintifik terhadap racun herba itu, yang merupakan salah satu racun herba yang paling banyak digunakan di dunia.
Cadangan ini dibuat selepas Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah pada Julai berkata mereka tidak menemui ‘mana-mana bidang kritikal membimbangkan’ yang menghalang glyphosate daripada mendapat kelulusan semula, mencetuskan bantahan daripada kumpulan alam sekitar.
Aktivis alam sekitar berkata terdapat bukti saintifik yang menunjukkan bahawa glyphosate mungkin menyebabkan kanser, mencemarkan hidupan akuatik, dan boleh membawa maut kepada pendebunga utama seperti lebah.
Cadangan suruhanjaya akan membenarkan penggunaan glyphosate sehingga 15 Disember 2033, iaitu dua kali ganda dari kelulusan lima tahun sebelumnya tetapi kurang daripada tempoh 15 tahun yang dirancang pada mulanya. – AFP


