Saturday, September 21, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU, China adakan rundingan tarif EV

    BRUSSELS, 20 SEPT – Ketua Perdagangan Kesatuan Eropah (EU), Valdis Dombrovskis, berkata kelmarin beliau telah mengadakan rundingan dengan Menteri Perdagangan China, Wang Wentao, ketika Beijing berusaha memeterai perjanjian dengan Brussels untuk mengelakkan tarif yang tinggi dikenakan ke atas import kenderaan elektrik (EV).

    Rundingan itu diadakan ketika perbezaan pendapat meningkat di Eropah mengenai tarif yang dicadangkan, selepas Sepanyol minggu lalu menggesa EU untuk mempertimbangkan semula rancangan percukaian sehingga 36 peratus ke atas EV China, menyertai Jerman selaku pihak pembangkang.

    “Dalam pertemuan dengan Wang, kedua-dua pihak bersetuju untuk mempergiatkan usaha mencari penyelesaian yang berkesan, boleh dikuatkuasakan dan selaras dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” kata Dombrovskis di X.

    Wang juga bercakap kepada perniagaan dalam sektor EV Rabu lalu di Brussels di mana beliau berkata, China pasti tidak akan berputus asa sehingga saat-saat akhir rundingan, seperti yang dipetik dalam satu kenyataan oleh Dewan Perniagaan China kepada EU.

    Suruhanjaya Eropah Julai lalu mengumumkan rancangan untuk mengenakan cukai import ke atas EV yang diimport dari China selepas penyiasatan anti-subsidi yang bermula tahun lepas mendapati mereka secara tidak adil menjejaskan saingan Eropah.

    EU mahu melindungi industri keretanta, di mana ia merupakan industri penting Eropah yang menyediakan pekerjaan kepada kira-kira 14 juta orang.

    Suruhanjaya itu bertanggungjawab terhadap dasar perdagangan bagi blok 27 negara itu.

    Tarif pada masa ini bersifat sementara dan hanya akan menjadi muktamad selama lima tahun selepas undian oleh negara anggota yang sepatutnya dilakukan sebelum akhir Oktober. – AFP

    Pekerja bekerja pada barisan pengeluaran EV di kilang Leapmotor di Jinhua, wilayah Zhejiang timur China pada 18 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda