Saturday, September 28, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU, China adakan rundingan tentang tarif EV

    BELGIUM, 23 JUN – Ketua perdagangan Kesatuan Eropah (EU) dan China mengadakan rundingan ‘terus terang dan membina’ kelmarin mengenai rancangan dari Brussels untuk menaikkan tarif ke atas kereta elektrik (EV) China, dan kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan rundingan lanjut.

    Perkara ini telah disuarakan oleh Jurucakap EU, semasa rundingan di antara Pesuruhjaya Perdagangan Eropah, Valdis Dombrovskis, dan Menteri Perdagangan China, Wang Wentao mengenai siasatan anti-subsidi EU terhadap EV yang dikeluarkan di China.

    EU telah memberi amaran bulan ini bahawa ia akan mengenakan tarif tambahan sehingga 38 peratus ke atas import EV China mulai Julai selepas siasatan anti-subsidi, dalam langkah yang berisiko mencetuskan perang perdagangan yang sengit.

    “Pihak EU menekankan bahawa sebarang hasil rundingan untuk siasatannya mesti berkesan dalam menangani subsidi yang memudaratkan,” kata jurucakap Olof Gill.

    “Kedua-dua pihak akan terus terlibat di semua peringkat dalam beberapa minggu akan datang,” jelasnya lagi.

    Kementerian perdagangan China menulis di X bahawa kedua-dua pihak ‘bersetuju untuk memulakan perundingan’ itu.

    Brussels telah menimbulkan kemarahan Beijing dengan melancarkan siasatan tahun lalu dalam usaha untuk mempertahankan pengeluar Eropah dalam menghadapi lonjakan import China yang lebih murah.

    Suruhanjaya Eropah kini telah mencadangkan kenaikan sementara tarif ke atas pengeluar China sebanyak 17.4 peratus untuk pasaran utama BYD, 20 peratus untuk Geely dan 38.1 peratus untuk SAIC.

    EU berkata jumlah itu bergantung kepada tahap subsidi negara yang diterima oleh syarikat. – AFP

    Gambar fail bertarikh 17 Oktober 2023 menunjukkan seorang pelanggan lelaki mengunjungi EV BYD di Budapest, Hungary. – Xinhua

     

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda