Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU, Filipina sambung rundingan FTA

    MANILA, 31 JULAI – Kesatuan Eropah (EU) dan Filipina akan memulakan semula rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA) ketika mereka berusaha untuk mempercepatkan ‘era baharu kerjasama’, kata Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen hari ini.

    “Saya sangat gembira kerana kami telah memutuskan untuk melancarkan semula rundingan bagi perjanjian perdagangan bebas (FTA),” kata von der Leyen kepada pemberita pada sidang akhbar bersama Presiden Ferdinand Marcos di Manila.

    “Pasukan kami akan mula bekerja sekarang untuk menetapkan syarat yang betul supaya kami boleh kembali kepada rundingan,” katanya sambil menyatakan FTA mempunyai potensi besar dari segi pekerjaan dan pertumbuhan.

    Kesatuan Eropah ialah rakan dagang keempat terbesar Filipina dan FTA akan menjadi perjanjian dua hala kedua Manila selepas Jepun.

    Filipina menikmati status Generalized Scheme of Preferences Plus (GSP+) yang membolehkannya mengeksport 6,274 produk ke EU tanpa cukai, tetapi ia bakal tamat tempoh pada akhir tahun ini.

    Von der Leyen, Presiden Suruhanjaya Eropah pertama yang melawat Filipina, berkata perjanjian perdagangan bebas adalah asas untuk mempelbagaikan talian bekalan dan juga boleh menjadi ‘batu loncatan untuk kerjasama teknologi baharu demi memodenkan ekonomi yang lebih luas’.

    Beliau berkata Kesatuan Eropah akan menyediakan 466 juta euro (AS$513 juta) untuk membantu Filipina membangunkan ‘tenaga hijau’ dan kitar semula plastik serta menyediakan data satelit untuk membantu Filipina lebih bersedia menghadapi cuaca ekstrem. – AFP

    Presiden Ferdinand Marcos Jr (dua kanan) dan Presiden Ursula von der Leyen (dua kiri) bertepuk tangan selepas majlis penandatanganan di Istana Presiden Malacanang di Manila kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda