Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU gesa buka laluan misi PBB

    BRUSSELS, 29 SEPT – Kesatuan Eropah (EU) hari ini menggesa Azerbaijan untuk membenarkan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melawat kawasan Nagorno-Karabakh ‘dalam beberapa hari akan datang’ selepas puluhan ribu etnik Armenia melarikan diri.

    “Perpindahan besar-besaran etnik Armenia dari Karabakh sedang berlaku akibat operasi ketenteraan Azerbaijan pada 19 dan 20 September serta penutupan laluan Lachin selama berbulan-bulan sebelum ini,” kata jurucakap EU dalam satu kenyataan.

    “Rakyat sedang melarikan diri dari rumah mereka di Nagorno-Karabakh dan mencari perlindungan di Armenia,” katanya.

    Kenyataan itu menyatakan Azerbaijan bertanggungjawab untuk memastikan hak dan keselamatan etnik Armenia di wilayah itu, termasuk menjamin mereka boleh tinggal di rumah masing-masing dan mereka yang dipindahkan boleh kembali.

    “Ia adalah penting agar misi PBB dapat memasuki wilayah tersebut dalam beberapa hari akan datang,” kata Brussels.

    Armenia telah menuduh Azerbaijan melakukan ‘pembersihan etnik’ selepas merebut semula kawasan tersebut dan minggu lalu meminta PBB menghantar misi.

    Baku telah menafikan bahawa ia mengusir penduduk Armenia dari Nagorno-Karabakh dan secara terbuka menggesa mereka untuk terus tinggal dan ‘mengintegrasikan diri’ ke dalam Azerbaijan.

    Kira-kira 90,000 pelarian atau tiga perempat daripada anggaran penduduk, setakat ini telah membanjiri wilayah itu ke Armenia sejak Azerbaijan menamatkan tiga dekad pemerintahan pemisah. – AFP

    Etnik Armenia dari Nagorno-Karabakh dan pemerhati EU memandu kenderaan mereka melepasi pusat pemeriksaan di jalan raya dari Nagorno-Karabakh ke wilayah Syunik, Armenia. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda