Thursday, September 19, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU gesa larangan merokok, vaping di tempat terbuka

    BRUSSELS, 18 SEPT – Kesatuan Eropah (EU) hari ini menyeru negara-negara anggota untuk mengharamkan merokok dan vaping di banyak kawasan luar, termasuk taman permainan, kolam renang dan patio restoran sebagai sebahagian daripada tindakan tegas terhadap asap rokok pasif.

    Dalam cadangan yang tidak terikat, Suruhanjaya Eropah berkata memperluaskan dasar persekitaran bebas asap rokok akan melindungi kesihatan orang ramai dengan lebih baik, terutamanya kesihatan kanak-kanak.

    Ia menggesa 27 negara anggota blok itu untuk memperluaskan sekatan yang dikenakan terhadap rokok bagi meliputi rokok elektronik dan produk baharu yang lain, seperti alat tembakau yang dipanaskan, yang semakin menarik pengguna yang sangat muda.

    “Kita mempunyai tanggungjawab untuk melindungi rakyat kita, khususnya kanak-kanak dan golongan muda, daripada pendedahan kepada asap dan pelepasan yang berbahaya,” kata Pesuruhjaya Kesihatan ,Stella Kyriakides.

    Penggunaan tembakau dianggarkan membunuh lebih daripada lapan juta orang di seluruh dunia setiap tahun, termasuk kira-kira 1.3 juta bukan perokok yang terdedah kepada asap rokok pasif, menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Pelepasan daripada rokok elektronik juga biasanya mengandungi nikotin dan bahan toksik lain yang berbahaya kepada perokok pasif, menurut WHO.

    Antara lokasi di mana semua aktiviti merokok harus diharamkan, suruhanjaya tersebut menyenaraikan perhentian bas, zoo, bar atas bumbung dan teres kafe. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda