BRUSSELS, 23 OGOS – Kesatuan Eropah (EU) hari ini mengumumkan bantuan kemanusiaan menerusi udara untuk timur Republik Demokratik Congo, membawa bekalan yang amat diperlukan ke bandar Goma.
Operasi itu, sebagai tindak balas kepada rayuan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), akan menyumbang kepada sejumlah besar penduduk rantau yang dilanda pertempuran antara kumpulan bersenjata dan penghijrahan besar-besaran, kata Pesuruhjaya Pengurusan Krisis EU, Janez Lenarcic.
Kesatuan Eropah akan menghantar 180 tan bekalan makanan, ubat-ubatan dan bekalan lain melalui dua penerba-ngan dari Eropah ke ibu negara Kenya, Nairobi.
Dari Nairobi, sebanyak lapan pe-nerbangan bulan ini akan membawa bantuan ke Goma, dengan dua daripadanya telah dilaksanakan kelmarin, kata pegawai EU.
Pada awal Ogos, PBB menyatakan kebimbangan mengenai keadaan yang semakin merosot di tiga wilayah di Timur Republik Demokratik Congo di Kivu Utara, Kivu Selatan dan Ituri di mana hampir 5.6 juta orang telah kehilangan tempat tinggal sejak 16 bulan lalu.

Pekerja kemanusiaan yang mengagihkan bantuan dan sokongan kepada penduduk di wilayah tersebut memerlukan lebih banyak pembiayaan dan bekalan, kata PBB pada masa itu.
Kumpulan militan dan pemberontak telah bertempur di kebanyakan kawasan di Timur Republik Demokratik Congo selama beberapa dekad, sebahagian besar merupakan warisan daripada peperangan serantau yang meletus pada akhir abad lalu.
Satu kumpulan bersenjata, M23, telah menawan sebahagian besar Kivu Utara sejak melancarkan pertempuran semula pada akhir 2021 selepas beberapa tahun tidak aktif.
Pakar bebas PBB, kerajaan dan beberapa negara Barat termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Perancis menuduh Rwanda menyokong M23 secara aktif, walaupun Kigali menafikannya. – AFP

