EU, IMF diminta selamatkan ekonomi Itali

ROM, 14 JUN – Perdana Menteri Giuseppe Conte menggesa ‘pelan berani’ apabila melancarkan mesyuarat maya bersama ketua Kesatuan Eropah (EU) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), bagi menyelamatkan ekonomi serta komuniti Itali dari kejutan tidak dijangka, susulan pandemik COVID-19.

Menurut Conte, perancangan berkenaan diperlukan bagi membantu menyelesaikan kemelut di Itali, sekali gus menepis kritikan pembangkang berhubung penganjuran mesyuarat tergempar itu.

“Pemimpin EU perlu membuktikan bahawa mereka faham yang perkara ini adalah berdasarkan manfaat bersama.

“Kita sekarang berada di fasa kehidupan yang dipenuhi kejutan tidak dijangka membabitkan kos sosial, ekonomi dan manusia,” kata Conte pada ucapan pembukaan yang disampaikan di Brussels.

Conte yang negaranya merekodkan 34,301 kematian setakat Sabtu, mencatatkan jumlah terburuk di Eropah.

Ekonomi negara ketiga terbesar Eropah itu diramalkan menguncup sekurang-kurangnya 8.3 peratus pada 2020.

Bagi menjana aktiviti di kebanyakan negara Eropah yang terkesan akibat COVID-19, Suruhanjaya Eropah mencadangkan pelan pemulihan berjumlah 750 bilion euro dalam bentuk geran dan pinjaman berjumlah 250 bilion euro.

Itali dijangka menerima sekitar 172 bilion euro daripada pelan tersebut. – AFP

Perdana Menteri Itali Giuseppe Conte bercakap pada sidang media mengenai pembukaan semula ekonomi selepas lockdown disebabkan pandemik koronavirus. – AP