BRUSSELS, 14 JULAI – Ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, kelmarin mengumumkan satu ‘persetujuan politik’ untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas yang telah lama dinanti-nantikan, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terus mencetuskan ketidaktentuan dalam perdagangan global.
“Kita sedang melalui zaman yang bergolak dan apabila ketidaktentuan ekonomi bertemu dengan ketegangan geopolitik, rakan-rakan seperti kita perlu lebih rapat. Jadi hari ini kita mengambil satu langkah besar dalam menjalin kerjasama ini,” kata von der Leyen kepada para wartawan di Brussels.
“Saya amat gembira untuk memaklumkan bahawa kita baru sahaja mencapai persetujuan politik bagi satu Perjanjian Perdagangan Bebas yang bercita-cita tinggi.”
Blok 27 negara EU dan ekonomi terbesar Asia Tenggara itu telah berunding sejak tahun 2016 untuk mencapai satu perjanjian yang dijangka akan meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua pihak.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Eropah, persetujuan yang dicapai kelmarin itu merupakan ‘penanda aras penting’ ke arah pemeteraian perjanjian tersebut yang dijadualkan akan dimuktamadkan pada bulan September oleh Ketua Perdagangan EU, Maros Sefcovic dan Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto. – AFP
