BRUSSELS, 19 FEB – Kesatuan Eropah (EU)hari ini secara rasmi melancarkan misi untuk membantu melindungi perkapalan antarabangsa di Laut Merah daripada serangan pejuang Yaman, Houthi, kata ketua EU, Ursula von der Leyen.
“Eropah akan memastikan kebebasan pelayaran di Laut Merah, bekerja bersama dengan rakan kongsi antarabangsa kami,” tulis Presiden Suruhanjaya Eropah di X.
Pejuang Houthi, yang menguasai sebahagian besar Yaman yang dilanda perang, telah menyerang laluan perkapalan penting sejak November dalam kempen yang dikatakan mereka sebagai solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza di tengah-tengah perang Israel-Hamas.
Seorang pegawai EU berkata pada Jumaat bahawa blok itu berhasrat melancarkan misi yang dipanggil Aspides bahasa Yunani untuk perisai dalam beberapa minggu dengan sekurang-kurangnya empat kapal.
Komander keseluruhan adalah orang Yunani, manakala pegawai utama dalam kawalan operasi di laut terdiri daripada warga Itali, kata pegawai EU.
Diplomat tertinggi Itali, Antonio Tajani mengesahkan pelancaran itu semasa mesyuarat menteri luar di Brussels, menyifatkan ia sebagai langkah penting ke arah pertahanan bersama Eropah.
Setakat ini Perancis, Jerman, Itali dan Belgium berkata mereka merancang untuk menyumbangkan kapal.
EU berkata mandat misi itu, ditetapkan pada mulanya selama satu tahun, adalah terhad untuk melindungi perkapalan awam di Laut Merah dan tiada serangan akan dilakukan di negara Yaman.
Amerika Syarikat sudah pun memimpin pakatan tentera lautnya sendiri di kawasan itu dan telah melakukan serangan ke atas pejuang Houthi di Yaman bersama Britain. – AFP