Saturday, October 5, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU lancar pelan alternatif untuk Asia

    BRUSSELS, 26 Sept – Tatkala keraguan meningkat berhubung projek infrastruktur perniagaan ‘Jalur dan Laluan’ China, Kesatuan Eropah (EU) akan melancarkan pelan alternatif untuk Asia yang dikatakannya tidak akan membebani negara dengan hutang yang tidak mampu dibayar oleh mereka.

    Negara anggota EU dijangka menandatangani ‘strategi kesalinghubungan Asia’ baharu yang bertujuan mempertingkat hubungan pengangkutan, digital dan tenaga sementara mempromosi standard alam sekitar dan pekerja tepat pada masanya untuk sidang kemuncak pemimpin Eropah dan Asia pada bulan depan.

    Brussels menegaskan skim tersebut bukan satu respons terhadap mana-mana pelabur lain, tetapi pelancarannya dilakukan tatkala inisiatif ‘Laluan Sutera’ baharu menjadi suram, yang menjangka sistem kereta api, jalan raya dan pelabuhan dibina di seluruh dunia dengan menggunakan berbilion dolar dalam pinjaman China.

    Federica Mogherini, ketua diplomatik EU, berkata rundingan telah diadakan selama beberapa bulan dengan beberapa negara Asia yang ‘berminat untuk melihat cara Eropah.’

    Federica Mogherini (kiri) ketika menghadiri mesyuarat dua hala di Grand Hyatt di New York City pada 24 September lalu. – AFP

    “Inisiatif kami akan menyasarkan pewujudan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi dan faedah untuk komuniti tempatan,” beritahunya kepada wartawan.

    “Saya tidak akan berkata sama ada ia adalah berbeza daripada cadangan orang lain tetapi ia adalah cadangan kami.”

    Strategi baharu ini keluar selepas Presiden Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker menggesa dasar asing EU yang lebih kukuh untuk menyaingi kekuatan ekonomi blok, berlawan dengan pendekatan ‘Amerika Pertama!’ yang dilancarkan oleh Presiden AS Donald Trump. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda