Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU lanjut sekatan senjata Myanmar

    BRUSSELS, 30 April – Majlis Kesatuan Eropah pada Isnin berkata ia telah melanjutkan sekatan senjata dan sekatan lain ke atas Myanmar selama setahun, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan majlis itu.

    “Rejim sekatan membabitkan satu sekatan senjata dan peralatan yang boleh digunakan untuk melakukan penindasan dalaman, satu larangan eksport ke atas barangan dwiguna bagi kegunaan tentera dan polis pengawal sempadan, serta sekatan eksport peralatan bagi pemantauan komunikasi yang mungkin digunakan untuk penindasan dalaman,” menurut kenyataan itu.

    Ia turut melarang penyediaan latihan ketenteraan dan kerjasama dengan tentera Myanmar.

    Majlis itu berkata lanjutan tersebut meliputi beberapa kaedah ketat ke atas 14 pegawai berpangkat tinggi dan polis pengawal sempadan “untuk pencabulan hak asasi manusia yang serius atau bersekutu dengan pencabulan itu” terhadap umat Islam Rohingya yang telah ditindas di negeri Rakhine, Kachin dan Shan.

    Rohingya, yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai orang paling teraniaya di dunia, telah berdepan kebimbangan diserang sejak berpuluh-puluh terbunuh dalam keganasan komunal pada 2012.

    Menurut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah melarikan diri dari Myanmar dan menyeberang ke Bangladesh selepas tentera Myanmar melancarkan serangan ke atas komuniti minoriti Islam pada Ogos 2017.

    Sejak 25 Ogos 2017, hampir 24,000 umat Islam Rohingya dibunuh oleh tentera Myanmar, menurut laporan Agensi Pembangunan Antarabangsa Ontario (OIDA).

    Lebih 34,000 orang Rohingya turut dibakar api manakala lebih 114,000 lagi telah dibelasah, menurut laporan itu yang bertajuk “Forced Migration of Rohingya: The Untold Experience.”

    Kira-kira 18,000 wanita dan kanak-kanak perempuan Rohingya telah dirogol oleh tentera dan polis Myanmar serta lebih 115,000 kediaman orang Rohingya dibakar manakala 113,000 lagi dirosakkan, menurut laporan itu.

    PBB turut mendokumentasikan rogol berkumpulan secara massa, pembunuhan – termasuk bayi dan kanak-kanak kecil – serta tindakan membelasah dan menghilangkan mangsa secara kejam yang dilakukan tentera Myanmar.

    Dalam satu laporan, para penyiasat PBB berkata perbuatan itu boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan dan mempunyai niat untuk melakukan genosid. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda