Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU larang plastik sekali guna di kafe, restoran mulai 2030

    BRUSSELS, 5 MAC – Perunding Kesatuan Eropah (EU) mencapai persetujuan kelmarin untuk mengharamkan plastik sekali pakai di kafe dan restoran mulai 2030, kata pegawai, di bawah peraturan baharu untuk mengurangkan sisa daripada pembungkusan di seluruh blok itu.

    Dua puluh tujuh negara dan penggubal undang-undang EU bersetuju dengan draf teks yang menetapkan sasaran untuk mengurangkan sisa pembungkusan dalam blok itu sebanyak lima peratus menjelang 2030, berbanding jumlah pada 2018.

    Matlamatnya adalah untuk mengurangkan lanjut 10 peratus pada 2035 dan 15 peratus menjelang 2040.

    Teks itu merupakan elemen utama matlamat alam sekitar EU di bawah Green Deal, set undang-undang untuk membantu blok itu mencapai matlamat iklimnya.

    “Peraturan ini bertujuan untuk mengurangkan sisa yang berpunca daripada pembungkusan, menjadikannya lebih mampan, sambil memastikan piawaian pengurusan sisa tertinggi,” kata kerajaan Belgium, yang memegang jawatan pengerusi EU bergilir, di X.

    Plastik dalam katering telah menjadi tumpuan perdebatan sengit selepas lobi oleh gergasi makanan segera dan industri kertas, yang mengatakan pembungkusan kadbod, boleh dikitar semula atau daripada hutan lestari, adalah lebih mesra alam daripada plastik.

    Larangan pembungkusan plastik sekali guna mulai 2030 juga akan dikenakan untuk buah-buahan dan sayur-sayuran segar yang belum diproses, produk individu seperti perasa dan gula, serta peralatan mandian kecil dan pembalut plastik untuk beg pakaian di lapangan terbang.

    Beg plastik yang sangat ringan juga akan diharamkan, dengan beberapa pengecualian. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda