BRUSSELS, 7 OKT – Kesatuan Eropah (EU) dan Maghribi bersetuju untuk mengubah perjanjian perdagangan sedia ada bagi merangkumi import dari wilayah Sahara Barat yang dipertikaikan, menurut kenyataan dikeluarkan oleh Brussels kelmarin.
Langkah itu diambil susulan keputusan Mahkamah Keadilan EU (ECJ) tahun lalu yang membatalkan perjanjian hasil pertanian antara kedua-dua pihak selepas dicabar oleh gerakan kemerdekaan Polisario Front.
Melalui perjanjian baharu itu, barangan dari wilayah berkenaan perlu menyatakan dengan jelas asal-usulnya bagi melayakkan diri menerima tarif keutamaan.
Dalam keputusan tahun 2024, ECJ menetapkan label produk ‘hanya perlu menunjukkan Sahara Barat sebagai negara asal tanpa sebarang rujukan kepada Maghribi’ bagi mengelakkan pengguna daripada tersalah tafsir asal barangan tersebut.
Maghribi yang merupakan rakan dagang utama EU menegaskan Sahara Barat adalah sebahagian daripada wilayahnya. Namun, Polisario, yang diiktiraf antarabangsa sebagai wakil rakyat Sahrawi, telah menuntut hak penentuan nasib sendiri bagi bekas tanah jajahan Sepanyol itu sejak 1975.
EU dalam kenyataan turut menegaskan perjanjian baharu itu mengukuhkan lagi hubungan jangka panjang antara blok berkenaan dan Maghribi. – AFP


