Friday, January 3, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU mahu syarikat gergasi teknologi bantu biayai pelaksanaan 5G

    BRUSSELS, 15 FEB – Kesatuan Eropah (EU) sedang mempertimbangkan untuk membuat syarikat gergasi teknologi dan pemain lain membantu membiayai pelaksanaan teknologi 5G dan melonggarkan peraturan mengenai penggabungan telekomunikasi, menurut dokumen yang dilihat oleh AFP kelmarin.

    Firma telekomunikasi Eropah, termasuk Orange dan Vodafone, telah lama menyeru EU untuk membuat syarikat gergasi teknologi dan platform penstriman membayar untuk jumlah besar jalur lebar yang mereka gunakan.

    Idea itu mencetuskan kontroversi dan perdebatan sengit tahun lalu.

    Kumpulan teknologi berpendapat firma telekomunikasi sudah mendapat wang daripada pelanggan, manakala pembela hak digital bimbang ia boleh mencipta internet dua kelajuan.

    Kumpulan tersebut berharap isu itu sudah dilupakan tahun lepas tetapi dokumen Suruhanjaya Eropah mencadangkan bahawa beberapa pegawai dalam blok itu masih percaya ia boleh dilaksanakan.

    “Suruhanjaya mungkin boleh mempertimbangkan untuk meluaskan skop dan objektif rangka kerja kawal selia semasa untuk memastikan medan permainan yang sama rata dan hak serta kewajipan yang setara untuk semua pemain dan pengguna rangkaian digital,” katanya.

    Dokumen itu juga menunjukkan EU sedang mempertimbangkan sama ada penggabungan telekomunikasi perlu diluluskan untuk memastikan syarikat boleh menanggung kos pelaksanaan teknologi 5G. – AFP

    Logo kumpulan telekomunikasi Perancis, Orange pada Forum Keselamatan Siber Antarabangsa (FIC) di Lille, utara Perancis. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda