Saturday, March 15, 2025
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU, Malaysia teruskan perbincangan

    KUALA LUMPUR, 29 JUN – Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia akan meneruskan perbincangan untuk menubuhkan pasukan petugas ad hoc bagi menyokong pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) di Malaysia.

    Ketua Pengarah Alam Sekitar EU, Dr Florika Fink Hooijer berkata EU serta Malaysia merupakan rakan strategik yang berkongsi objektif yang sama untuk melindungi alam semula jadi dan biodiversiti, selaras dengan komitmen yang dibuat pada biodiversiti bersejarah COP15 di Montreal.

    “Saya gembira kerana EU dan Malaysia meneruskan dialog konstruktif termasuk bekerjasama dalam bidang alam sekitar. Kami juga berpeluang meneruskan perbincangan mengenai matlamat bersama bagi menghentikan penebangan hutan dan menyokong perdagangan komoditi lestari.”

    Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi serta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad termasuk pemimpin perniagaan, pengeluar, pekebun kecil serta pertubuhan alam sekitar.

    Fink-Hooijer melawat Malaysia semalam untuk meningkatkan kerjasama EU-Malaysia dalam isu alam sekitar dan sebagai susulan kepada misi diplomatik Malaysia ke Brussels bersama Indonesia bulan lepas.

    Kedua-dua negara telah membincangkan kerjasama dan usaha bersama mengenai penebangan hutan serta kemerosotan alam sekitar dengan EU.

    Semasa lawatannya, Fink-Hooijer berkongsi perspektif dan kemajuan mengenai dasar EU termasuk menerima pandangan daripada aktivis alam sekitar, pemuliharaan dan usahawan sosial di negara ini.

    EU, bersama-sama dengan negara anggotanya, telah lama bekerjasama dengan pihak berkepentingan Malaysia, baik kerajaan dan bukan kerajaan, untuk meningkatkan standard bagi perlindungan hutan serta biodiversiti sambil menetapkan laluan ke arah ekonomi kitaran. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda