BRUSSELS, 30 MEI – Kesatuan Eropah (EU) masih gagal mencapai kesepakatan berhubung sekatan ke atas eksport minyak Rusia.
Pegawai kanan blok itu bagaimanapun menegaskan mereka masih cuba mencari jalan penyelesaian sebelum sidang kemuncak berlangsung.
Menurut diplomat kanan EU, banyak butiran masih perlu dirungkai jika mahu mencapai persetujuan sebelum sidang kemuncak dua hari yang bermula hari ini.
Cadangan sekatan minyak Rusia adalah sebahagian daripada pakej sekatan susulan pencerobohan Kremlin ke atas Ukraine.
Sehingga kini, Hungary membantah sekatan berkenaan atas alasan sekatan minyak akan menjejaskan ekonominya kerana tiada akses kepada kapal kargo laut memandangkan keseluruhan negara itu disempadani daratan.
Turut menyatakan kebimbangan adalah Slovakia dan Republik Czech, yang juga menerima bekalan minyak menerusi saluran paip Druzhba tetapi menerima kelonggaran tambahan dua tahun bagi mengurangkan kebergantungan mereka terhadap minyak Rusia.
Kebuntuan itu menyebabkan rundingan berkenaan sekatan minyak berterusan selama sebulan tanpa sebarang perkembangan.
Sebagai jalan tengah, rundingan semalam memutuskan pengecualian saluran paip Druzhba daripada sekatan di masa depan dan hanya menyekat minyak yang dihantar melalui jalan laut ke negara EU.
Menurut sumber di Eropah, paip minyak Druzhba membekalkan satu pertiga keperluan bekalan minyak EU dan bakinya dibekalkan menerusi laluan laut. – AFP