EU peruntuk AS$329 juta bantu pelarian Syria

BRUSSELS, 6 DIS – Kesatuan Eropah (EU) akan memberikan sejumlah €297 juta (AS$329 juta) bagi membantu pelarian Syria dan komuniti tuan rumah di Jordan dan Lubnan, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik pengumuman Suruhanjaya Eropah kelmarin.

Pakej bantuan baharu itu adalah bertujuan memperbaiki penjagaan kesihatan dan keadaan hidup pelarian Syria dan komuniti tuan rumah selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan perlindungan sosial.

Dana Amanah Serantau EU dalam Respons terhadap Krisis Syria menyalurkan bantuan kewangan. Ia pada asalnya ditubuhkan pada 2014 bagi menangani krisis kemanusiaan akibat perang Syria. EU kini memutuskan untuk melanjutkan mandat bantuan dana itu sehingga 2023.

Sebahagian besar bantuan itu (€70 juta) akan menaja penjagaan kesihatan di Lubnan manakala €48 juta akan dibelanjakan bagi memperbaiki perkhidmatan air dan rawatan sisa di negara itu. Ekonomi Lubnan akan dirangsang oleh bantuan tambahan sebanyak €45 juta.

Jordan akan menerima €59 juta untuk ‘memperkukuh sikap berdikari pelarian dan komuniti tuan rumah’ yang membabitkan program latihan dan bantuan bagi mewujudkan peluang pekerjaan untuk pelarian Syria. – Bernama