BRUSSELS, 20 MEI – Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan kelmarin akan memberikan Mesir bantuan tambahan sebanyak empat bilion euro (AS$4.5 bilion) dalam bentuk pinjaman bagi membantu Kaherah memenuhi sebahagian keperluan kewangannya, bersama program pinjaman IMF yang telah pun dilaksana.
Perjanjian sementara mengenai bantuan EU itu telah dicapai antara Majlis EU yang mewakili negara-negara anggota blok dan Parlimen Eropah.
Kedua-dua institusi itu perlu memformalkan perjanjian tersebut sebelum pembayaran pertama dapat dilaksanakan.
Awal tahun lalu, IMF telah memperluaskan pakej pinjaman 2022 untuk Mesir daripada AS$3 bilion kepada AS$8 bilion, bagi membantu negara itu menguruskan cabaran ekonomi di tengah-tengah ketidaktentuan serantau.
Majlis EU menyatakan pembayaran pinjaman Eropah kepada Mesir akan ‘dikaitkan dengan kemajuan yang memuaskan susulan pelaksanaan program IMF’.
EU dan Kaherah pada Mac 2024 telah menandatangani satu ‘perkongsian strategik’ yang merangkumi bantuan kewangan sebanyak lima bilion euro, di mana satu bilion euro pertama telah disalurkan pada bulan berikutnya. – AFP


