Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU sedia capai perjanjian dengan AS sebelum 1 Ogos

    ISTANBUL, 13 JULAI – Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen kelmarin menyatakan kesediaan untuk berusaha ke arah mencapai satu perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) sebelum 1 Ogos, susulan pengumuman Presiden Donald Trump mengenai tarif sebanyak 30 peratus ke atas blok itu yang akan bermula bulan depan, lapor Anadolu Ajansı (AA).

    “Kami kekal bersedia untuk terus berusaha ke arah satu perjanjian menjelang 1 Ogos. Pada masa yang sama, kami akan mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi kepentingan EU, termasuk penggubalan tindakan balas yang setimpal jika diperlukan,” kata von der Leyen dalam satu kenyataan bertulis.

    Beliau menegaskan, Eropah secara ‘berunding secara konsisten’ dengan AS dan mengulangi ‘komitmen’ terhadap dialog, kestabilan dan perkongsian transatlantik yang ‘konstruktif’. Menurutnya, hanya ‘sedikit’ ekonomi di dunia yang mampu ‘menyaingi’ tahap keterbukaan dan pematuhan terhadap amalan perdagangan adil yang diamalkan oleh blok itu.

    “Pelaksanaan tarif sebanyak 30 peratus ke atas eksport EU akan mengganggu rantaian bekalan transatlantik yang penting dan memberi kesan negatif kepada perniagaan, pengguna dan pesakit di kedua-dua belah Atlantik,” kata von der Leyen dengan nada amaran.

    Beliau berkata EU akan terus kukukan kerjasama global mereka yang berpaksikan prinsip perdagangan antarabangsa berasaskan peraturan.

    Terdahulu, Trump mengumumkan yang AS akan mengenakan tarif sebanyak 30 peratus ke atas EU dan Mexico bermula 1 Ogos. Terdahulu, Trump berkongsi dua surat kepada Presiden EU, Ursula von der Leyen dan Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum mengumumkan tarif sebanyak 30 peratus ke atas barangan dari Eropah dan Mexico yang menuju ke AS.

    Surat itu kini memburukkan lagi rundingan perdagangan antara AS dan EU, yang sebelum ini menyasarkan untuk memuktamadkan satu perjanjian perdagangan menyeluruh bulan ini. – Bernama/Anadolu

    Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen semasa sesi pleno di Parlimen Eropah di Strasbourg pada 9 Julai. EU sedia berunding dengan AS. – Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda