BRUSSELS, 24 JULAI – Negara Kesatuan Eropah (EU) meluluskan cadangan Suruhanjaya Eropah untuk mengenakan tarif import ke atas barangan yang melibatkan jumlah dagangan sebanyak €93 bilion (AS$109.4 bilion) sekiranya rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) gagal, menurut diplomat EU kepada dpa.
Langkah itu termasuk senarai barangan yang diluluskan bernilai €21 bilion dan senarai baharu dengan tambahan barangan bernilai €72 bilion.
Presiden AS, Donald Trump baru-baru ini mengumumkan yang beliau akan mengenakan tarif sebanyak 30 peratus ke atas import dari 27 negara EU bermula 1 Ogos.
Walaupun langkah balas itu diluluskan, blok EU masih berharap dapat mencapai penyelesaian secara rundingan dalam pertikaian perdagangan dengan Washington.
Trump kelmarin berkata AS bersedia untuk mengurangkan tarif ke atas barangan Eropah sekiranya EU membuka pasarannya dengan lebih luas kepada syarikat Amerika. – Bernama
