BRUSSELS, 20 JUN – Kesatuan Eropah (EU) hari ini telah melarang penyertaan syarikat-syarikat China dalam pembelian peralatan perubatan kerajaan bernilai lebih €5 juta (AS$5.8 juta) sebagai tindak balas terhadap sekatan pasaran yang dikenakan oleh Beijing terhadap produk EU.
Langkah terbaharu itu merupakan satu lagi bab dalam ketegangan perdagangan antara blok 27 negara itu dengan China, melibatkan pelbagai jenis bekalan penjagaan kesihatan daripada topeng pembedahan hingga mesin sinar-X yang merangkumi pasaran bernilai kira-kira €150 bilion di EU.
“Matlamat kami menerusi tindakan ini adalah untuk mewujudkan suasana persaingan yang adil bagi syarikat EU,” kata Pesuruhjaya Perdagangan EU, Maros Sefcovic.
“Kami tetap komited untuk terus berdialog dengan China bagi menyelesaikan isu ini,” tambahnya.
Sebagai respons, China menuduh EU mengamalkan ‘dwistandard’.

“EU sering mendabik dada sebagai pasaran paling terbuka di dunia, tetapi pada hakikatnya, ia semakin beralih ke arah perlindungan pasaran,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, dalam sidang media harian.
“Di bawah alasan ‘persaingan adil’, EU sebenarnya melakukan persaingan yang tidak adil, satu contoh klasik dwistandard,” katanya.
Suruhanjaya Eropah dalam kenyataannya menyebut bahawa langkah itu diambil sebagai tindak balas terhadap pengasingan berterusan peralatan perubatan buatan EU daripada kontrak kerajaan China.
Brussels menyatakan hampir 90 peratus kontrak perolehan awam peralatan perubatan di China telah dikenakan pengecualian dan diskriminasi terhadap firma EU.
Selain melarang syarikat China daripada bidaan utama, EU juga akan mengehadkan penggunaan input dari China dalam bidaan berjaya kepada maksimum 50 peratus, jelas kenyataan itu. – AFP